Pengerusi AEON Malaysia, Datuk Abdullah Mohd. Yusof berkata, AEON Mall Kota Bharu yang bernilai RM300 juta merupakan kompleks beli-belah pertama syarikat itu di bahagian Pantai Timur.

Katanya, kompleks berkenaan adalah AEON Mall yang keempat terbesar di negara ini dengan keluasan mencecah 1.3 juta kaki persegi (120,774 meter persegi) dan menawarkan sejumlah 178 lot kedai termasuk pasar raya AEON, butik fesyen, pusat sukan serta kedai perabot.

“AEON Mall Kota Bharu menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada orang ramai dan kita turut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program penanaman pokok ‘AEON Hometown Forest’ yang melibatkan seramai 600 sukarelawan terdiri daripada masyarakat tempatan di sini semalam.

Dalam program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood itu, sebanyak 15,000 pokok renek me­rangkumi 72 variasi seperti kurma, honeysuckle, jasmine, cassia, bunga raya dan bunga kertas ditanam oleh para sukarelawan.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan AEON Malaysia, Nur Qamarina Chew.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pihaknya memilih untuk membuka cawangan ke-32 tersebut di bandar ini kerana yakin dengan potensi pembangunan ekonomi di Kelantan, lebih-lebih lagi penduduknya didapati mempunyai kuasa beli yang hebat.

“AEON Mall berada di lokasi strategik iaitu Lembah Sireh yang kini merupakan sebuah kawasan yang pesat membangun. Selain itu, kawasan ini mudah dicapai dan kita juga menyediakan sejumlah 2,400 lot tempat letak kereta untuk kemudahan para pelanggan," katanya.