Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri II, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berkata, program yang bertujuan menghidupkan dan memberi nafas baharu kepada kegiatan yang pernah popular suatu ketika dahulu itu mampu dikembangkan sebagaimana Perlumbaan Pera­hu Naga di Pulau Pinang atau Pertandingan Lepa Tercantik di Sabah.

Menurut beliau, sebagai langkah permulaan, Adu Kolek turut dicadangkan untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan dengan penganjuran lebih awal di luar musim tengkujuh di samping penambahan jumlah kolek.

“Peringkat percubaan tahun ini melibatkan sebanyak 12 pasukan daripada jabatan kerajaan dan universiti awam dan insya-Allah, ia akan dijadikan acara tahunan selepas kita menerima sambutan yang sangat positif da­ripada orang ramai.

“Tahun depan kita akan tambah baik program ini supaya lebih ramai dapat turut serta dan tidak mustahil kita mampu menganjur­kannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyem­purnakan majlis penutup prog­ram itu di Pulau Warisan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah.

Dalam kejohanan itu, pasukan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) muncul juara selepas mendahului cabaran sejauh 300 meter dengan catatan masa 1 jam 32 minit 15 saat sekali gus mengetepikan Pejabat Daerah Kuala Nerus di tempat kedua (1 jam 32 minit 91 saat) dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu di tangga ketiga (1 jam 33 minit 53 saat).

Kemenangan itu memboleh­kan pasukan Unisza memba­wa pulang hadiah wang tunai RM2,500 manakala pasukan Pejabat Daerah Kuala Nerus menerima RM2,000 dan pemenang tempat ketiga menerima RM1,500.

Tengku Zaihan menambah, kolek merupakan perahu pertama digunakan di Terengganu dan kali terakhir program seumpama itu diadakan adalah pada 1975.

Beliau memberitahu, kejohanan Adu Kolek selama dua hari merupakan program penutup tirai Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.