Baginda bertitah, ini harus mengambil kira kedudukan masyarakat Melayu itu sebagai nukleus dalam sistem sosial di Malaysia.

"Selain mengambil kira keistimewaannya yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

"Walau apa jua perkara yang menjadi hala tuju negara atau apa-apa dasar yang dirangka, keadilan sosial hendaklah menjadi sempadan agar masyarakat berbilang kaum turut terbela," titah baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berangkat menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan Pertama bagi 2019 yang diadakan di Dewan Kulliyah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs berharap agar adat istiadat Melayu dapat terus dipertahankan dan disuburkan pada hari ini.

Baginda bertitah, pada masa sama kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri juga merupakan aspek yang penting untuk menjadikan adat Melayu sebagai pemangkin identiti nasional. - UTUSAN ONLINE