Selain bertindak sebagai amil dan pengagih kutipan zakat yang melebihi setengah bilion ringgit, LZS boleh dianggap sebagai sebuah institusi yang mampu menjadi agen perubahan kehidupan asnaf di negeri ini.

Wartawan Utusan Malaysia Abdul Razak Idris menemu bual Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid bagi berkongsi perancangan dan pelaksanaan agihan zakat oleh LZS di dalam dan di luar Selangor.


UTUSAN MALAYSIA: Apakah peranan LZS untuk memastikan pengurusan kutipan zakat berada di landasan yang sepatutnya?

ABDUL BASITH: LZS bukan sahaja bertindak sebagai amil yang mengutip zakat tetapi turut meng­agihkannya kepada lapan asnaf seperti fakir, miskin, mualaf, ar riqab dan lain-lain.

Di Selangor tidak hanya me­nyantuni asnaf miskin di kampung malahan miskin bandar turut berada dalam radar kita.

Sehingga Jun 2018, LZS telah mengagihkan zakat sebanyak RM370.9 juta kepada lapan asnaf dan seramai 47,298 keluarga asnaf fakir dan miskin pula telah dan sedang disantuni. Jumlah ini termasuk dengan golongan miskin bandar.

Tidak hanya dari segi bantuan sara diri bulanan melibatkan bantuan kewangan dan makanan bulanan, malah meliputi bantuan pendidikan untuk memastikan tidak ada anak-anak asnaf tercicir.

Apakah bentuk agihan zakat yang disediakan oleh pihak LZS?

Kami sediakan kail, bukan ikan. Setiap asnaf yang kami ban­tu perlu bersedia untuk mengu­bah hala tuju ekonomi mereka.

Antara bantuan yang disalurkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf sehingga Jun 2018 ini adalah RM46.1 juta bagi Bantuan Kewangan dan Bulanan Asnaf dan RM19.5 juta bagi bantuan perlindungan (baik pulih, bina dan sewa rumah).

Manakala bagi bantuan pendidikan sebanyak RM27.5 juta disalurkan kepada asnaf fakir dan miskin, RM8.3 juta kepada asnaf mualaf serta RM37.9 juta disalurkan di bawah asnaf fisabilillah. Kami beriltizam untuk menjadikan miskin bandar sebagai usahawan.

Sebagai contoh membantu golongan asnaf ini untuk berniaga secara ‘food truck’.

Kami berharap taraf hidup mereka berubah hingga mampu menjadi peniaga yang berjaya dan mereka pula menjadi pembayar zakat.

Peniaga dalam kalangan asnaf yang kini berniaga sendiri mudah dikenali kerana ‘food truck’ mereka tertera logo LZS.

Difahamkan LZS kini turut membantu asnaf fakir dan miskin di luar Selangor, boleh jelaskan usaha ini?

Kami bukan sahaja membantu dari segi pendidikan, kediaman dan ekonomi umat Islam di sini malahan negeri luar turut dibantu.

Misalnya di Perlis dan terbaru di Kelantan. LZS dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) mengadakan program Selangor Prihatin di Desa Alam Shah, Pasir Puteh, Kelantan.

Program yang dinamakan Penempatan Agro Ekonomi Desa Alam Shah, di Kampung Gong Jenarah Pasir Puteh, setakat ini terbukti telah berjaya menjadikan tanaman cili Kulai secara berkelompok antara yang terbesar di negeri itu.

Setakat ini bagaimana per­kembangan projek tersebut?

Projek agro ekonomi kerjasama antara LZS dan MAIK tersebut menunjukkan kadar pengeluaran yang menggalakkan dari masa ke semasa sejak diusahakan pada Jun 2016.

Kawasan seluas 11.2 hektar di Pasir Puteh itu mampu mengeluarkan kira-kira 24,000 kilogram (kg) cili Kulai pada 2016 dan me-ningkat kepada kira-kira 33,000 kg pada tahun lalu.

Malah, pengeluaran hasil cili Kulai sehingga 15 Ogos tahun ini mencatat 33,852 kg iaitu melepasi pengeluaran pada tahun lalu. Baru-baru ini Program Lawatan Rasmi Media dan ‘Stakeholder’ ke Projek Penempatan Berkelompok dan Agro Ekonomi di Desa Alam Shah, Kampung Gong Jenarah dianjurkan dengan tujuan meng­uar-uarkan kejayaan program tersebut.

Kami mahu menunjukkan kepada pembayar zakat ke mana wang zakat dibelanjakan.

Dalam masa yang sama turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk mendapatkan bantuan dan penerangan dari kami.

Adakah projek tersebut berhasil mengubah taraf hidup asnaf?

Untuk pengetahuan saudara, projek di Desa Alam Shah tersebut diselia oleh seorang Eksekutif dari LZS dan dari MAIK sendiri. Pemantauan rapi dilakukan dari segenap aspek termasuk kebajikan, pendidikan dan kegiatan komuniti.

Hasil pendapatan keseluruhan peserta juga menunjukkan peningkatan daripada RM86,000 pada 2016 kepada RM132,000 tahun lalu.

Seramai 28 peserta yang me­ngikuti projek tanaman itu memperoleh hasil pendapatan berbeza, namun sebanyak RM1,200 sahaja diserahkan kepada peserta terbabit.

Bakinya kita pecahkan kepada simpanan tetap sebanyak 70 peratus yang akan diserahkan kepada peserta selepas lima tahun dan modal pusingan sebanyak 30 pe-ratus pada musim berikutnya.

Berapakah peruntukan yang terlibat bagi projek di luar Sela­ngor ini?

Sebanyak RM10 juta dana pembangunan disediakan termasuk projek rumah kediaman dibina di kawasan itu. Inisiatif ini diba­ngunkan atas keprihatinan Sultan Selangor agar manfaat dana zakat di Selangor dapat disalurkan kepada negeri-negeri yang kurang mempunyai sumber zakat.

Hasilnya, penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah direa­lisasikan selepas pembinaan pe-nempatan yang sama di Taman Desa Asnaf Perlis pada tahun 2013.

Hasilnya kawasan penempatan itu dilengkapi dengan kemudahan asas seperti surau, dewan serba guna, pusat sumber, kedai runcit, jalan berturap dan padang permainan bagi memberi keselesaan kepada peserta yang terlibat.

Adakah LZS akan terus me­nga­dakan program seperti di Desa Alam Shah di lain-lain tempat?

LZS sebagai sebuah institusi agama Islam akan sentiasa me-lakukan yang terbaik untuk umat Islam bukan sahaja di Selangor malahan di mana sahaja.

Soal sama ada kita akan me­ngadakan program seperti di Desa Alam Shah tidak akan timbul jika semua pihak sedar tanggungjawab mereka untuk berdakwah dan membantu golongan asnaf.

Buat masa ini kita akan melihat impak program di Pasir Puteh Kelantan tersebut pada tahun 2020.