Penghulu kampung berke­naan, Koh Cheng Law berkata, kebanyakan penduduk di kampung ini khususnya gene­rasi tua tidak tahu berbahasa Mandarin dan mereka menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dialek Kelantan dalam perbualan ha­rian sesama sendiri di samping pandai menulis Jawi.

Ujarnya, masyarakat Peranakan Cina juga meminati kesenian Melayu seperti dikir barat, wayang kulit, mak yong selain mengisi masa lapang dengan permainan wau dan gasing.

“Cara hidup kami yang tidak jauh beza dibandingkan rutin orang Melayu selain pergaulan rapat dengan masyarakat tersebut membuahkan rasa cinta kami terhadap seni persembahan Melayu Kelantan.

“Kami juga mempunyai seorang tok dalang dan tukang karut dikir barat yang merupakan antara individu terkenal bagi permainan tersebut di negeri ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang penduduk, Hok Cheng Lee berkata, daripada segi seni bina, kebanyakkan rumah penduduk di sini dibina dengan konsep kediaman tradisi Melayu.

Katanya, seperti rumah tradisi Melayu, kediaman Peranakan Cina Kelantan juga sebahagiannya menggunakan kayu cengal selain berkonsepkan rumah bertiang.

Ujarnya, bumbung serambi rumah penduduk di sini kelihatan mencerun ke hadapan yang menyebabkan cahaya matahari tidak dapat masuk sekaligus berbeza dengan tradisi Cina tradisional yang mengutamakan pancaran matahari.