Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, antaranya pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP), Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

“Bilangan ini akan dipertingkatkan untuk memberi pilihan kepada pengguna terhadap akses makanan bersih, selamat, sihat dan halal khususnya kepada penduduk tempatan dan pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2015 di Aeon Bandaraya di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Menurut Idris, amalan menjaga kebersihan merangkumi kawasan menyediakan makanan, sistem bekalan air, kemudahan sanitasi, struktur dan penyenggaraan premis, mempamerkan tanda harga serta logo halal bagi premis makanan yang telah memperoleh sijil halal.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memulakan inisiatif menjadikan Melaka sebagai hab makanan selamat melalui aktiviti antara agensi serta industri dalam mengukuhkan Melaka sebagai pusat pengeluaran produk makanan selamat.

“Ini selaras kedudukan negeri ini ke arah negeri maju dalam fasa keduanya dan peluang ini perlu direbut oleh industri makanan dalam mendapatkan perkhidmatan pengeluaran produk berkualiti dan terjamin,” katanya.

Kata Idris, sepanjang tahun lalu, sebanyak 5,586 premis makanan diperiksa oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 265 premis iaitu 4.7 peratus diarahkan tutup sementara berikutan kegagalan peng­usaha premis makanan terlibat mematuhi arahan di bawah Akta Makanan 1983.