Sementara lima lagi dari SK Taman Scientax, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chien Chi dan SJKC Masai disyaki mengalami simptom virus tersebut selepas mereka menghidap demam berpanjangan sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, keenam-enam mangsa adalah dari empat sekolah rendah sekitar daerah ini.

"Murid terbabit yang disahkan dijangkiti virus Influenza A dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada hari sama dan telah pun dilaporkan kembali sihat semalam.

"Pihak sekolah berkenaan telah mengambil langkah proaktif dengan memindahkan murid kelas tersebut ke bilik lain bagi meneruskan pembelajaran sementara bilik darjah asal dibersihkan," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

Menurut Ayub, pejabat kesihatan telah menjalankan aktiviti pencarian kes lain di sekolah terbabit dan hingga kini hanya satu kes sahaja yang dikesan mengalami penyakit influenza A.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Sharif berkata, mangsa lain disyaki mengalami virus Influenza namun kelas penyakit itu belum dapat disahkan.

Katanya, bagaimanapun kesemua mangsa yang dijangkiti virus tersebut sudah dibenarkan cuti hingga mereka beransur pulih. - UTUSAN ONLINE