SLUG GAMBAR: BANJIRKUCHING 20 JANUARI, 2015 -- Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah ketika mengadakan tinjauan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan St Peter Kampung Simpok, Padawan yang menempatkan paling ramai mangsa 1015 terdiri daripada lebih 200 keluarga di sini hari ini.GAMBAR/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIAWARTAWAN KOSMO!/ NOR AZIRAN YUNUSWARTAWAN UTUSAN/ ANGELINA SINYANG

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, bimbingan dari segi pembangunan ekonomi penting untuk membantu golongan terbabit berdikari dan dapat meningkatkan hasil pendapatan.

“Seramai 57,000 orang di negeri ini perlu diberi perhatian, dibimbing dan dibantu dalam pembangunan ekonomi supaya mereka dapat berdikari.

“Justeru, setiap pemimpin peringkat tertinggi perlu memahami sasaran untuk membantu golongan ini,” katanya berucap dalam majlis Makan Malam Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Sarawak di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah JKM negeri, Abang Shamsudin Abang Seruji dan Timbalannya, Zainal Taram; wakil Residen Bahagian Mukah, Nolin Gendang; Walikota Majlis Daerah Mukah, Kaunselor Abdul Yakub Arbi; Pegawai Daerah Dalat, Kueh Lee Poh; Pegawai Kesihatan Mukah, Dr. Osman Rafaiee dan Temenggong Hendi Suhai.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pihak berkaitan harus berusaha mencapai sasaran untuk membantu masyarakat yang memerlukan bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik.

Katanya, hal ini kerana salah satu fokus kementeriannya ada­lah ‘pergi ke luar bandar’ iaitu, memfokuskan kawasan luar bandar memandangkan masih banyak tempat yang sukar dihubungi bagi menyalurkan bantuan kepada penduduknya.

“Sebab itu, kita bergabung dengan rakan strategik terdiri daripada ke­tua-ketua masyarakat bagi mengenal pasti kawasan yang perlu diberikan perhatian.

“JKM merupakan jabatan yang sebati dengan masyarakat terutama golongan sasar.

“Justeru, kita perlu memantapkan perlindungan kepada golongan ini terutama OKU dan warga emas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai menjadi sukarelawan JKM supaya dapat membantu melaksanakan aktiviti seliaan jabatan itu.