Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN yang baharu, Suhaizan Kayat dengan didahului Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Selepas Osman, 10 ahli Exco pula mengangkat sumpah diikuti ADUN Gambir, Tan Sri Muh­yiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Simpang Jeram, Salahuddin Ayub yang juga anggota Parlimen Pulai sebelum disusuli kesemua ADUN Pakatan Harapan lain.

Tiga calon Bebas kemudian mengambil giliran untuk me­ngangkat sumpah diikuti ADUN Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Sejurus angkat sumpah kese­mua ADUN selesai, Setiausaha DAP Johor yang juga ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng kemudian dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Johor apabila namanya dicadangkan oleh Osman dan disokong ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan.

Suhaizan, 45, yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam ucapanya menyifatkan pelantikan tersebut sebagai penghormatan yang sangat tinggi kepadanya.

“Dengan penghormatan ini, saya beriltizam untuk mengendalikan persidangan DUN Johor sebaik mungkin,” katanya.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan Suhaizan yang juga merupakan Setiausaha parti Ama­nah bertanding di kerusi DUN Kukup, namun tewas kepada calon BN, Datuk Md. Othman Yusof dengan majoriti 862 undi.

Beliau memperoleh 10,251 undi, Md. Othman mendapat 11,113 undi, manakala calon Pas, Karim Deraman meraih 1,040 undi.

Pakatan Harapan mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor, manakala BN mendapat 19 kerusi dan Pas dengan satu kerusi.

Daripada jumlah 36 kerusi itu, DAP memperoleh 14 kerusi, Amanah (sembilan), PKR (lima) manakala PPBM (lapan).

Walau bagaimanapun, tiga ADUN BN daripada UMNO, iaitu ADUN Sedili, Rasman Ithnain; ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan ADUN Endau, Alwiyah Talib kemudian mengumumkan bertindak keluar UMNO dan BN pada 12 Mei dengan menjadi ADUN Bebas.