Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Wa­risan negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman berkata, jumlah itu meningkat daripada 5.1 juta pengunjung tahun sebelum­nya biarpun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Beliau berkata, sasaran sebenar tahun lalu yang merupakan Tahun Melawat Kelantan adalah 6 juta pelancong namun pihak­nya berpuas hati kerana mampu mencapai 96 peratus daripada jumlah sasaran.

“Pada tahun ini, moto kita adalah ‘Kelantan Di Hati’ kerana kita berharap pelancong yang datang akan sentiasa mengingati pengalaman di negeri ini dan mahu kembali semula.

“Kita menyasarkan jumlah kemasukan pelancong yang sama iaitu 5.8 juta dan ia realistik dalam keadaan ekonomi masa kini.

“Kita akan menggalakkan (promosi) kemasukan pelancong luar negara yang boleh mengambil peluang daripada kadar matawang negara yang rendah,” katanya selepas melancarkan buku 'Sejarah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan' dan 'Memoir Seorang Budak Kampung' di Gelanggang Seni di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd.Faudzi Che Mamat.

Sementara itu, Md. Anizam berkata, pelancaran buku 'Sejarah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan' itu adalah sebahagian usaha berterusan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) untuk memberi ilmu pengetahuan dan mendidik masyarakat tentang sejarah negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi PMNK berkata, sebanyak 1,000 naskah buku itu sudah dicetak dan akan diedar kepada perpustakaan sekolah, penjawat awam dan masyarakat umum yang berminat.

“Sejarah pentadbiran negeri ini panjang termasuk semasa penjajahan Siam, Inggeris dan Perang Dunia Kedua.

“Fungsi Setiausaha Kerajaan Negeri sejak 1921 dikupas dalam buku ini termasuk bagaimana mereka berperanan mengkordinasikan perjalanan unit dan jabatan dalam kerajaan tanpa mengira parti politik yang memerintah,” katanya.

Buku setebal 136 muka surat tersebut dikarang oleh Pengarah PMNK, Mohamad Nazwan Ismail; Pegawai Khas Kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Mohd. Roshdi Ismail dan Pegawai Penyelidik PMNK, Wan Jaafar Jusoh.