Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hashrin Kamal Hashim berkata, pertandingan tersebut melibatkan penyertaan mereka yang berumur 12 tahun ke bawah; 13 hingga 17 tahun dan 18 tahun ke atas.

Selain itu katanya, kemeriahan FLLSPG selama lima hari itu sudah mula dirasai apabila 460 peserta mula mendaftar hari ini untuk menyertai tiga kategori yang dipertandingkan.

“Daripada jumlah tersebut 180 peserta menyertai kategori kebangsaan, 250 peserta (sekolah menengah) dan 24 peserta (Komuniti zon Kawasan Pasir Gudang),” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan tinjauan persiapan festival tersebut di sini hari ini.

Hashrin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja FLLSPG berkata, taklimat itu melibatkan 39 pengadil Majlis Pelayang Malaysia yang mewakili Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak, Selangor, Sarawak dan Johor.

Katanya, taklimat tersebut dipengerusikan oleh, Exco Pe­ngadil Teknikal dan Pertandi­ngan Majlis Pelayang Malaysia, Nik Ariff Nik Hasan.

“Tujuan kita mengadakan taklimat tersebut bagi menyelaraskan semua acara yang akan berlangsung sepanjang festival tersebut.

“Festival kali ini turut melibatkan 550 peserta pelayang antarabangsa dari 40 negara antaranya Jepun, Australia, Brunei, Indonesia, Singapura, Belgium, England dan Switzerland,” katanya.

Tambah Hashrin, festival kali ke-22 kali itu akan dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada pukul 8 malam, Jumaat ini.

Festival tahunan itu dianjurkan oleh MPPG dengan kerjasama Tourism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Johor.