Kesemua mereka dianugerahkan beret hijau yang menjadi lambang kemegahan Grup Gerak Khas (GGK) iaitu keagungan, keperwiraan serta mutu peribadi.

Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki berkata, kesemua anggota dan pegawai terlibat secara sukarela untuk berkhidmat di dalam GGK dan berjaya melepasi lima peringkat kursus.

Menurutnya, kesemua mereka perlu mengikuti kursus peringkat kem selama lima minggu, peringkat hutan (dua minggu), peringkat paya (seminggu), peringkat laut (dua minggu dan peringkat penamat selama dua minggu.

“Kesemua latihan diadakan di sekitar Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan ada juga di dalam kem.

“Bagi saya kursus ini mencabar kerana pada peringkat permulaannya disertai oleh 257 orang, tetapi yang lulus hanya tujuh pegawai dan 31 anggota kerana kita memilih yang berkualiti sahaja, bukan kuantiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutup Kursus Asas Komando di Sungai Udang di sini hari ini.

Pada majlis penutup itu, Lef­tenan Muda Mohamad Hairul Md. Salleh, 24, dari Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja dianuge­rahkan penuntut terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/2/2015.

Ketika ditemui, Mohamad Hairul berasa lega kerana berjaya melepasi pelbagai halangan dan cabaran dalam kelima-lima peringkat kursus itu.

“Pada awalnya saya tak berapa yakin boleh lulus kerana kursus ini agak sukar, tetapi berkat doa dan semangat yang saya tanamkan dalam diri, saya cuba lakukan sebaik yang mungkin.

“Selama tiga bulan ini banyak pahit getir saya alami dalam peringkat kem, peringkat hutan, peringkat paya dan peringkat laut,” katanya.