Kesemua mereka menerima anugerah tersebut dalam majlis penganugerahan yang diadakan oleh Unit Psikologi dan Unit Pem­belajaran Sepanjang Hayat (PSH) kolej komuniti tersebut.

Pengarah KKBB, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Abdul Razak Sabtu berkata, majlis itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara kakitangan selain menghargai dan memberi pengiktirafan kepada semua kakitangan yang memberi sumbangan ke arah pencapaian cemerlang KKBB sepanjang tahun lalu.

“Program ini dianjurkan supaya kerjasama yang lebih erat dapat dipupuk dan mengeratkan hubungan antara pengurusan kolej dan juga kakitangan.

“Paling utama ia diadakan bagi meningkatkan motivasi semua kakitangan untuk terus komited dalam menjalankan tugas yang diamanahkan serta mencapai kecemerlangan bagi tahun 2016,” katanya ketika berucap pada majlis itu yang diadakan di Rumah Melaka di sini kelmarin.

Pada majlis tersebut, beberapa anugerah disampaikan kepada kakitangan yang menunju­kan pres­tasi kerja cemerlang antaranya Anugerah Tokoh Akademik, Anugerah Akademik, Anugerah Pengajaran, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan, Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum, Anugerah Khidmat Kesukarelawan, Anugerah Khas serta Anugerah kepada kakitangan yang tidak pernah mengambil cuti sakit selama tiga tahun berturut-turut.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi ne­geri, Datuk Md. Yunos Husin dan turut dihadiri pengarah program, Tan Pey Pey.

Sementara itu, seorang penerima iaitu Ketua Unit Pengajian Am, Norhayati Ali berkata, anugerah yang pertama kali diterimanya itu membakar semangat untuk meneruskan khidmat cemerlang demi menjamin mutu perkhidmatan di KKBB pada masa akan datang.

Beliau yang sudah berkhidmat selama sembilan tahun di kolej komuniti itu berkata, anugerah tersebut juga diharap dapat memberi dorongan kepada rakan-rakan lain untuk turut bersaing secara sihat dalam memberi komitmen semasa melaksanakan tugas.

“Saya tanamkan semangat ikhlas bekerja agar sesuatu yang dilaksanakan itu menjadi lebih berkat dan diredai Allah dalam usaha mendidik anak bangsa,” katanya.