Terbaharu, program anjuran Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) dengan kerjasama rakan strategik Universiti Malaysia Terengganu (UTM) diadakan di sini baru-baru ini dengan penglibatan 363 pelajar.

Kalangan pelajar dari lapan sekolah menengah di daerah ini dan juga Setiu itu menyertai kem sehari yang berlangsung di Bukit Keluang Beach Resort.

Program berkenaan menumpukan kepada aktiviti pemba­ngunan sahsiah pelajar bagi membentuk jati diri yang holistik dan teguh di samping membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa ketika berucap merasmikan kem berkenaan berkata, Empower Ecer merupakan salah satu daripada wacana kerajaan untuk memastikan tiada rakyat terpinggir dari proses pembangunan.

“Penglibatan ECER dan UMT dalam pembangunan pendidikan negeri itu patut dicontohi organisasi lain sebagai sokongan kepada usaha memartabatkan pendidikan di Terengganu.

“Kedua-dua pihak berkongsi tenaga dan kepakaran membentuk modul latihan bagi membimbing pelajar negeri ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik,” katanya.

Menurut beliau, selain tanggungjawab dilakukan pihak penganjur, ibu bapa juga perlu memberi sokongan kepada program yang diadakan oleh pihak terbabit kerana ia bertujuan untuk melahirkan pelajar cemerlang.

“Kem ini selari dengan matlamat untuk memberi motivasi kepada pelajar selain menerapkan nilai-nilai murni kepemimpinan dan siasah diri agar mereka berjaya dalam kehidupan kelak,” katanya.