Program anjuran Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (Khadam) dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ke­tereh itu bermula pukul 10.30 dan kesemua pasangan tersebut dinikahkan oleh enam imam.

Menurut Ahli Parlimen Ke­tereh, Tan Sri Annuar Musa, program julung kali diadakan itu bertujuan membantu keluarga pengantin menjimatkan kos serta memudahkan urusan golongan belia mendirikan rumah tangga.

“Program ini mendapat tajaan 10 usahawan perkahwinan merangkumi khemah, pelamin, katering dan khidmat andaman serta akan dijadikan acara tahunan untuk kita bantu lebih ramai belia Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh memberitahu, pasangan pengantin yang menyertai program itu bukan sahaja dinikahkan beramai-ramai, malah akan diraikan dalam majlis persandingan besar-besaran, esok.

“Majlis persandingan mereka dijadualkan berlangsung esok di Dewan Tun Abdul Ghaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Melor. Mereka akan diarak dengan beberapa buah kereta mewah seperti Rolls-Royce,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengantin, Mohd. Afendy Ab. Rahman, 27, berkata, dia dan isteri, Siti Izarina Yajib, 27, bertuah kerana dapat melangsungkan perkahwinan yang meriah dengan bantuan Kha­dam dan UMNO Ketereh.

“Setiap pasangan pengantin hanya mengeluarkan kos seba­nyak RM2,500 dan jumlah ini jauh lebih jimat berbanding kos biasa perkahwinan ketika ini iaitu sekitar RM15,000,” katanya.

Seorang lagi pengantin, Nur Anis Mohd. Razali, 20, pula berkata, berkahwin beramai-ramai mungkin kelihatan tidak eksklusif namun dia dan suami, Mohamad Faris Mohamad Zain, 27, gembira diraikan dengan cara tersebut.

“Majlis kahwin kami menjadi lebih meriah kerana lebih ramai sanak saudara dan rakan-rakan dapat hadir. Jika buat berasingan ikut kemampuan sendiri, tidak mungkin kami dapat anjur majlis sebesar ini,” katanya.