Pengerusi Jawatankuasa Ko­perasi, Keusahawanan dan Ke­penggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin berkata, SPNB memperuntukkan seba­nyak RM2.1 juta bagi tujuan berke­naan.

Beliau berkata, pembinaan RMR1M adalah manifestasi keprihatinan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

“Subsidi sebanyak RM20,000 ditanggung Kerajaan Pusat bagi setiap unit rumah ini sekali gus menyerlahkan lagi keprihatinan pentadbiran negara kepada golongan berkenaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Peruntukan Kerja RMR1M kepada kontraktor di rumah Rehat Raub di sini baru-baru ini.

Menurut Shahiruddin, pembinaan RMR1M adalah antara bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) komited dan serius menyediakan kediaman selesa kepada rakyat dengan harga yang mampu dibayar.

Beliau berkata, rumah berharga RM65,000 seunit itu mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi, dapur, ruang tamu dan dilengkapi dengan bekalan elektrik serta air.

“Kerajaan tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada projek RMR1M ini, sebaliknya pelaksanaannya bagi membantu rakyat memiliki rumah demi masa depan mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta penghulu dan ketua ketua kampung supaya lebih proaktif menerangkan dasar-dasar kerajaan yang membawa manfaat kepada rakyat.

Kata beliau, kerajaan tidak mahu rakyat mendapat maklumat salah dan menjadi tanggungjawab penghulu serta ketua kampung memberi gambaran tepat kerana mereka adalah individu yang rapat dengan penduduk di peringkat akar umbi.

“Sebagai jentera, mata dan telinga kerajaan, mereka perlu mengalas tanggungjawab tersebut dengan ikhlas, jujur serta tegas,” katanya pada majlis perjumpaan dengan penghulu dan ketua ketua kampung daerah Raub di sini baru-baru ini.