Bantahan anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Merbok itu bagi mendesak pihak berkaitan mengatasi masalah berkenaan yang disifatkan mereka mengganggu urusan seharian.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Merbok, Mohamad Zahir Abdul Halim berkata, bekalan air ke rumah penduduk masih terputus sehingga hari ini.

"Pelbagai masalah timbul apabila bekalan air tiada dari pagi hingga ke malam, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana macam-macam janji dikeluarkan sebelum ini tetapi masalah itu masih belum selesai," katanya selepas menyertai bantahan itu di Pekan Merbok, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali; Yang Dipertua Pas Kawasan Merbok, Azizan Hamzah; Ketua UMNO Bahagian Merbok, Anuar Ahmad dan Ketua anita UMNO bahagian itu, Hapsoh Ahmad.

Pelbagai sepanduk dibawa oleh orang ramai dalam bantahan itu antaranya 'Kami dah tak larat nak tunggu', 'Jangan seksa kami lagi' dan 'Hujan tiada air, kemarau lagilah tiada air'.

Sementara itu, Hanif berkata, penduduk kini bergantung kepada bekalan air yang dihantar menggunakan lori ke kawasan-kawasan terjejas.

"Jika masalah ini terus berlarutan, penduduk akan terus merungut dari semasa ke semasa. Kerajaan negeri perlu memberi komitmen untuk menangani isu-isu itu daripada terus berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Dalam pada itu, Anuar pula berkata, kerajaan negeri ketika era Barisan Nasional (BN) dahulu telah meluluskan lebih RM250 juta untuk menaik taraf sistem bekalan air di kawasan Merbok termasuk loji air di Bukit Selambau, di sini.

Menurut beliau, peruntukan itu sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya tanpa memberi pelbagai alasan lagi bagi mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat. - UTUSAN ONLINE