Program berkenaan dianjurkan Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (Khadam) bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu ( Kada) dengan kerjasama beberapa agensi lain.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, karnival tersebut diadakan untuk memberi peluang kepada usahawan mempromosikan produk masing-masing selain menyediakan program motivasi serta khusus kepada mereka.

Beliau berkata, lebih istimewa, beberapa program khas turut diadakan sepanjang karnival ini berlangsung seperti Kendurian, Festival Makan Burger, Festival Bayi dan pelbagai lagi.

"Orang ramai dijemput hadir ke karnival ini termasuk program Kendurian iaitu kenduri makan durian bersama Ahli Parlimen secara percuma pada 28 Ogos  bermula pukul 3 hingga 6 petang.

"Manakala pada 29 Ogos pula Festival Makan Burger di mana 1,000 biji burger disediakan. Untuk Festival bayi, kita mengadakan pertandingan bayi comel dan sihat dengan pelbagai hadiah menarik termasuk barangan kemas ditawarkan, katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, sebanyak 200 gerai jualan dan pameran disediakan kepada pengunjung sepanjang lima hari karnival berlangsung.

"Sempena karnival ini juga, kita mengadakan jualan murah seperti daging lembu (RM20 sekilo), minyak masak, bawang, benih pokok, serta jagung dengan potongan sehingga 30 peratus.

"Pada 30 Ogos iaitu menjelang Hari Kebangsaan, kita akan mengadakan konvoi bermotosikal yang membawa Jalur Gemilang dan karnival berkenaan akan berakhir dengan pertunjukan bunga api pada tengah malam," katanya. -UTUSAN ONLINE