Mereka terdiri daripada anggota Pertubuhan Ihsan Johor, Kelab Amal Bakti, Santun Johor dan Briged Waqaf Johor Corporation.

Semua mereka berlepas dari pekarangan Bangunan Dato' Jaafar Muhammad di Kota Iskandar di sini dalam satu majlis ringkas yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah nege­ri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, bantuan yang dihulur menerusi sekumpulan sukarelawan yang digerakkan dari negeri ini adalah atas dasar prihatin, nilai ihsan dan berasa bertanggungjawab dalam membantu mereka yang terlibat.

Beliau berbesar hati dengan kesanggupan sukarelawan terbabit yang menawarkan diri menyertai misi tersebut biarpun dimaklumkan dalam masa singkat sekali gus menunjukkan sifat keprihatinan rakyat negeri ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang bertungkus lumus me­ngumpul anggota untuk membantu meringankan beban mangsa banjir di Pulau Pinang dan ini membuktikan rakyat Johor amat prihatin terhadap bencana teruk yang melanda.

“Kita menghantar bantuan itu kerana mereka juga rakyat Malaysia. Jadi, saya berharap sukarelawan negeri ini yang terlibat dapat menggunakan pengalaman yang ada untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Khaled turut mengingatkan para sukarelawan itu berhati-hati dalam menjalankan misi tersebut.

Tambahnya, bantuan tersebut merupakan fasa pertama manakala bantuan seterusnya berupa makanan dan sebagainya akan menyusul kemudian bergantung kepada keadaan semasa di negeri terlibat.