Bapanya, Zulkefli Mamat, 52, tidak lagi mampu bekerja dan kehidupan keluarga hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Walaupun serba kekurangan, tetapi tidak melemahkan anak kedua daripada empat beradik itu untuk berjaya dalam pelajaran dan ini dibuktikan dengan pencapaian 6A dalam pepe­riksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Peningkatan drastik Nor Asyi­kin turut didorong oleh penyertaannya dalam program Latihan Akademik Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) anjuran Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) tahun lalu sebagai persiapan menduduki SPM.

“Saya bukan pelajar yang cemerlang. Dalam Pentaksiran Tingkalan 3 (PT3) saya hanya mendapat keputusan 3A tetapi saya bersyukur dengan tunjuk ajar dan latihan program Empower ECER,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang SPM 2016 Empower ECER Kuala Nerus, Setiu dan Marang di sini baru-baru ini.

Norasyikin merupakan 25 daripada 630 pelajar yang menyertai program itu di negeri ini yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam SPM 2016.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Razif berkata, pencapaian para peserta itu merupakan sesuatu yang membanggakan berdasarkan latar belakang keluarga yang miskin dan tahap pendidikan yang begitu sederhana serta lemah sebelum ini.

“Kejayaan 25 pelajar ini secara tidak langsung membantu meningkatkan keputusan pepe­riksaan SPM di Terengganu.

“Oleh itu, ECER dan kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan terus menghulurkan bantuan termasuk soal penempatan mereka ke pusat pengajian sewajarnya kelak.

“Apa yang mustahak, kese­mua peserta program ini membuktikan mereka dapat membantu mengeluarkan keluarga masing-masing daripada belenggu kemiskinan kelak,” katanya kepada pemberita.