Penganjur festival dan penulis skrip, Yasu Tanaka berkata, kesemua 22 filem tersebut merupakan karya terbaik yang dipilih daripada filem-filem yang menyertai Festival Filem Short Shorts di Jepun sebelum ini.

“Penayangan filem-filem pendek bertaraf antarabangsa di Cyberjaya pastinya dapat mendedahkan penggiat seni tempatan dengan karya-karya yang berkualiti tinggi sekali gus meningkatkan daya saing mereka di persada antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sesi tayangan Festival Filem Short Shorts akan diadakan di Universiti LimKokWing bermula pukul 10.30 pagi pada 20 dan 21 Oktober dan masuk adalah percuma.

Sesi tayangan 22 filem pendek tersebut turut diselit dengan perbincangan mengenai penerbitan filem pendek.

Selain filem fiksyen, turut terpilih untuk tayangan adalah filem pendek berbentuk drama, muzikal, dokumentari dan animasi.

Antara filem pendek yang bakal ditayangkan dalam festival tersebut termasuk ‘A Lady Caddy Who Never Saw a Hole In One’ yang dihasilkan penerbit muda dari Indonesia, Yosep Anggi Noen.

Turut ditayangkan adalah filem animasi bertajuk ‘Lost Senses’ yang dihasilkan Marcin Wasilewski dari Poland.

Filem pendek lain termasuk karya dari Jepun, Jerman, United Kingdom, Taiwan, Belgium, Singapura, China, Sepanyol, Belanda dan Switzerland.