Peserta konvoi bertemakan 'Kembara Barakah di Bumi Perpatih' itu terdiri daripada kakitangan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) serta petugas agensi zakat dan majlis agama Islam negeri-negeri.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad di Dataran Asnaf, Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini malam ini. 

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jawhar, Ahmad Musadad Sulaiman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Selamat Paigo dan Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamarudin.

Sementara itu, Mohd. Yusof dalam ucapan perasmiannya berkata, konvoi selama tiga hari itu melawat golongan asnaf bermula di Port Dickson diikuti Rembau, Kuala Pilah dan seterusnya Seremban. 

Beliau berkata, program itu menunjukkan kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan dalam pembangunan modal insan melibatkan golongan asnaf. 

"Kita juga menggalakkan sumbangan idea dan gerak kerja daripada orang ramai bagi mengembangkan syiar Islam melalui program ini," katanya.

Konvoi yang merupakan acara tahunan itu sebelum ini pernah diadakan di Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, Terengganu, Johor,  Sabah dan Kedah. - UTUSAN ONLINE