Ayub Rahmat

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penera­ngan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kesemua pulau kecil itu dikenal pasti di enam mukim di daerah tersebut iaitu di Triang, Penyabong, Tenglu, Mersing, Jemaluang dan Tenggaroh.

Menurutnya, enam daripada kesemua pulau kecil itu dicadang­kan untuk diwartakan di bawah Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) iaitu Pulau Mertang Barat, Mertang Timur, Achi, Lima Kechil, Lima Besar dan Tokong Rakit.

“Antara pulau kecil yang dicadangkan untuk diwartakan sebagai Taman Laut Malaysia di bawah Akta Perikanan 1985 ialah Pulau Lalang, Pelandok, Mawar, Puchong, Kerengga, Perigi China, Lalang, Setindan, Batu Gajah, Belanak dan Lilang.

“Turut dicadangkan untuk pewartaan Taman Laut Malaysia ialah 11 batuan yang dikenal pasti di Pe­nyabong dan Mersing. Empat daripadanya dicadangkan diwartakan di bawah TLSI iaitu Tokong Gantang, Condong, Belalai dan Chupak,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Kota Iskandar di hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Abd. Razak Minhat (BN-Serom) mengenai sebarang usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam menjadikan TLSI sebagai mercu tanda biodiversiti di negeri ini.

Ayub berkata, pewartaan itu akan dijalankan secara bersama-sama kerajaan negeri melalui Perbadanan Taman Negara Johor dan Jabatan Taman Laut Malaysia.

Beliau berkata, antara usaha lain yang dilaksanakan kerajaan negeri ialah dengan menurunkan tukun di perairan TLSI dan mewartakan kawasan Santuari Dugong di Pulau Sibu yang dalam proses pewartaan dan penandaan sempadan.

Katanya, tukun yang diturunkan di TLSI sebagai satu tindakan jangka panjang menunjukkan hasil positif dengan peningkatan pertumbuhan terumbu karang dan pembiakan ikan sebanyak 30 peratus hasil pemerhatian pada bulan lalu.

“TLSI merupakan satu kawasan perairan yang menjadi perhatian kebanyakan pelancong yang datang ke Taman Negara. TLSI sememangnya menjadi keutamaan untuk dipulihara menerusi Dasar Kelestarian Negeri Johor di bawah teras Pemuliharaan Sumber Wa­risan Semulajadi,” katanya.