Pemilihan dibuat oleh Unit Integriti, Prestasi dan Kaunseling, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia di pejabat SUK sebelum ditauliahkan sebagai ahli Akrab peringkat kebangsaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 11 Disember tahun lepas.

Diketuai oleh SUK, Datuk Osman Muda selaku penaung, pasukan itu turut dianggotai oleh Timbalan SUK I, Samiun Salleh selaku timbalan penaung I manakala Ketua Penolong SUK (Pengurusan Sumber Manusia), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil pula dilantik sebagai timbalan penaung II organisasi berkenaan.

Setiausahanya, Nuzulnisa Barudin berkata, Akrab yang tercetus hasil gabungan lima perkataan iaitu ‘Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Bestari’ itu diharap mampu membimbing pegawai yang menghadapi permasalahan, cabaran dalam menghadapi perubahan dunia pekerjaan serta meningkatkan potensi diri ke tahap yang optimum.

Beliau ditemui dalam majlis penganugerahan sijil pentauliahan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sempena Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman (WDI) di sini baru-baru ini.

Katanya, Akrab menyediakan medium perantaraan antara rakan sekerja dengan pihak pengurusan sesebuah jabatan yang membolehkan pegawai berkongsi idea, sebagai tempat meluahkan perasaan, memupuk semangat berpasukan dan mendapatkan bimbingan, sokongan daripada ahli-ahli Akrab.

“Selepas pentauliahan diperoleh, Akrab yang berkhidmat di pejabat SUK ini perlu mengaplikasikan ilmu pendekatan psikologi dan kaunseling tersebut terhadap rakan-rakan yang mempunyai masalah dalam urusan kerja,” katanya.

Tambah Nuzulnisa, pihaknya juga telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat bagi memenuhi salah satu prasyarat sebelum pentauliahan iaitu di Rumah Anak Yatim Darul Falah, Marang, pada 27 September tahun lalu.