Pengerusi pengelola program tersebut, Dr. Nik Mohamad Azli Nik Ariffin berkata, program bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang Sabtu lalu itu berjaya menarik minat kira-kira 50 pesara ATM yang uzur untuk sama-sama melakukan pemeriksaan kesihatan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk berkata, antara pemeriksaan yang dilakukan pada program tersebut termasuklah rawatan pesakit luar, rawatan pergigian, pemeriksaan mata dan ceramah kesihatan.

“Alhamdulilah program kali kedua dengan kerjasama ATM ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk apabila sejak awal pagi lagi mereka berbaris di kawasan pemeriksaan.

“Kita harap program sebegini dapat dilakukan dengan lebih kerap lagi pada masa depan demi manfaat penduduk Bagan Datuk,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut baru-baru ini.

Nik Mohamad Azli berkata, selain melakukan pemeriksaan percuma, beliau turut diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk untuk mengadakan klinik kesihatan percuma khusus bagi rakyat kawasan itu.

Katanya, klinik kesihatan percuma itu diadakan di Dewan Hajah Tuminah di Kampung Nipah Darat dekat sini pada minggu ketiga setiap bulan sejak Januari tahun lalu.

Sejak 2009, kata Nik Mohamad Azli, beliau dan pasukannya pergi dari rumah ke rumah untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma serta menyampaikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.

“Semua yang saya laksanakan ini adalah atas arahan dan idea Timbalan Perdana Menteri sendiri.

“Setiap bulan dianggarkan antara 50 hingga 60 orang datang­ menjalani pemeriksaan kesihatan di Dewan Hajah Tuminah dan jika dihitung, lebih 1,000 orang setiap tahun dapat manfaat program tersebut.

“Jumlah ini belum dicampur dengan pemeriksaan yang kami buat dari rumah ke rumah yang lakukan sejak 2009. Saya rasa hampir keseluruhan penduduk di Bagan Datuk mendapat faedah daripada bantuan yang diberikan Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.