Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, perkara itu dikesan dalam pemeriksaan yang dijalankan terhadap rumah kongsi yang didiami 15 Orang Asli suku Jakun, lima warga Bangladesh dan tiga Indonesia.

“Lima daripada mereka yang merupakan Orang Asli dimasukkan ke Hospital Tampin untuk rawatan dan siasatan lanjut. Dua daripadanya merupakan ibu dan anak. Keadaan mereka yang

dimasukkan ke wad adalah stabil.

“Mereka adalah sebahagian daripada 15 Orang Asli yang dibawa masuk dari Kampung Kelapa, Pekan, Pahang untuk bekerja di ladang tembikai itu pada 5 Jun lalu.

“Baki sembilan orang lagi iaitu empat Orang Asli, tiga pekerja Bangladesh dan dua Indonesia telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar semasa saringan kesihatan di rumah kongsi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainudin berkata, kesemua mereka berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan.

Katanya, beberapa sampel klinikal telah diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian pengesahan dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.

“Siasatan mendapati keadaan bekalan air, pembuangan sampah dan kemudahan tandas di kawasan itu tidak sempurna. Pihak pengurusan syarikat telah dimaklumkan supaya membersih dan memperbaiki kemudahan itu serta keadaan tempat tinggal pekerja.

“Kejadian tersebut turut dimaklumkan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang untuk siasatan lanjut di Kampung Tanjung Kelapa iaitu kampung asal pekerja Orang Asli tersebut,” ujarnya.

Beliau mengesahkan, kejadian itu tiada kaitan dengan wabak yang dialami Orang Asli di Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN ONLINE