Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata, empat pasar berkenaan telahpun siap beroperasi, empat lagi dalam pembinaan manakala dua lagi akan dibina tahun ini.

Katanya, empat Pasar Nelayan yang telah beroperasi itu ialah di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, Rhu 10 (Setiu), Bandar Dungun (Dungun) dan Seberang Kastam (Besut) dengan pasar terbaharu mula beroperasi hari ini di Kampung Benting Lintang, Besut.

Menurutnya, empat lagi Pasar Nelayan yang memberi fokus kepada pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan sedang dalam pembinaan di Kampung Che Wan, Kijal (Kemaman), Taman Hadhari di Paka, Dungun, Rhu Muda dan Pengkalan Maras di Marang.

"Kita juga merancang menambah bilangan ini menjadi sebelas buah iaitu di Kerteh, Kemaman dan Seberang Takir, Kuala Terengganu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan

Pasar Nelayan Kampung Benting Lintang dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Mahadi Musa dan Pengarah Bahagian Infrastruktur Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mohamad Shafee Mohamad.

Beliau berkata, empat pasar nelayan yang beroperasi sekarang telah mencapai jualan sebanyak 140 metrik tan yang bernilai RM1.2 juta sebulan yang merupakan satu pencapaian yang baik dengan kerjasama semua pihak.

Selain itu, Nawi yang juga ADUN Hulu Besut berkata, seramai 150 nelayan dari daerah Besut dan Setiu akan ditempatkan semula di satu kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar di Kampung Benting Lintang itu dengan penyediaan kemudahan yang sesuai.

Katanya, sebuah rumah akan dibina untuk setiap nelayan yang terpilih untuk mendiami rumah yang diberikan secara percuma di kawasan tersebut dan turut disediakan dengan kemudahan asas seperti medan ikan bakar, premis perkedaian, klinik, tadika, surau dan dewan.

"Ini akan memberikan peluang kepada golongan nelayan untuk mengubah kehidupan mereka yang selama ini sering digambarkan sebagai golongan termiskin dan terabai dari perhatian kerajaan," ujarnya.

Tambahnya, sebuah terusan konkrit akan dibina kelak bagi membolehkan para nelayan keluar masuk dan mengatasi masalah muara cetek yang menjadi masalah di Kampung Benting Lintang itu.