Para peserta kayuhan sejauh 20 kilometer dari Dewan Bandaran Kejora, Bandar Petri Jaya, di sini ke Gunung Muntahak terdiri daripada 65 ahli Kelab Berbasikal Karimun (KCC), pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah Kota Tinggi serta Kejora.

Majlis pelepasan program berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Da­suki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Yang turut hadir, Pengurus Bahagian Pelancongan Kejora, Abd. Rahman Muri; Timbalan Pengarah Pelancongan Kabupaten Karimun, Indonesia, Zaini Salleh dan Penolong Pegawai Daerah, Zairul Adilla Zani.

Baderi berkata, selain memupuk gaya hidup sihat, program tersebut juga bagi mengeratkan hubungan peserta daripada ke­dua-dua negara, khususnya yang menetap di daerah ini.

“Program ini perlu diteruskan kerana bukan sahaja mempopularkan destinasi pelancongan di wilayah Kejora, malah merupakan satu galakan dan pendapatan tambahan kepada penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Abd. Rahman berkata, program dua hala tersebut bertujuan mengenal pasti potensi destinasi pelancongan yang boleh dijalankan dengan kerjasama pihaknya dan wilayah Karimun.

“Program pertama kali diadakan ini diharap dapat menggambarkan jalinan hubungan dua hala dan diteruskan. Insya-Allah kita akan membuat kunjungan balas ke tempat mereka,” katanya.