Khidmat, budi dan jasa ditabur tanpa menghiraukan penat dan jemu akan terus dikenang oleh masyarakat malah tidak keterlaluan jika ada yang melabelkannya sebagai jaguh rakyat.

Wartawan Utusan Malaysia, NIK HAFIZUL BAHARUDDIN menemu bual Johan yang juga Ketua UMNO Hulu Langat untuk berkongsi kisah suka duka sepanjang dua penggal menjadi wakil rakyat selain harapan beliau untuk melihat Parlimen Hulu Langat
kembali ke tampuk pemerintah Barisan Nasional.


UTUSAN: Pendekatan turun padang dilakukan berterusan sejak 10 tahun lalu. Mengapa ini penting bagi Datuk?

Program turun padang dan ziarah bertemu rakyat dilakukan secara konsisten untuk rakyat. Pada setiap hujung minggu saya biasanya penuhi antara tujuh hingga lapan program. Ini adalah janji saya sejak dari dahulu lagi. Dalam kalangan masyarakat, ada yang memberi gelaran ‘jaguh bertemu rakyat’ kepada saya. Itu adalah kepercayaan dan penghargaan yang diberikan kepada saya, sebagai wakil rakyat, saya akan terus berbakti.

Bidang pendidikan antara isu utama dibangkitkan penduduk. Apa sumbangan Datuk dalam bidang tersebut?

Ya, saya telah berusaha mendapatkan beberapa buah sekolah baharu untuk memenuhi keperluan pada masa sekarang. Antaranya sekolah Kebangsaan (SK) Pelangi Semenyih dan SK Bandar Sunway Semenyih. Begitu juga dengan SK Bandar Rinching yang mendapat blok tambahan.

Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ton Fah, Beranang turut dipindahkan ke pe­nempatan baharu di Eco World yang mana Eco World sendiri me­­nyumbang sebanyak RM3 juta untuk pembangunan sekolah terbabit.

Dalam pembangunan pendidikan, usaha yang dilaksanakan secara berterusan termasuk program motivasi untuk pelajar di semua sekolah yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pakar motivasi iaitu Prof. Datuk Dr. Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Sagoff.

Saya juga berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru besar untuk meneruskan program berkenaan terma­suk program Tricky Maths yang membantu pelajar menyelesaikan perkiraan matematik dengan pantas.

Isu air antara kemelut berterusan menghantui rakyat. Tawaran BN menyelesaikan permasalahan itu?

BN Hulu Langat sudah masak dengan isu air dan memandang serius isu ini sehingga menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Krisis Air Semenyih (KAS) di bawah pimpinan Pengerusinya, Azman Ahmad. Melalui KAS, kita berinteraksi terus dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Kita bukan mahu menyibuk atau mengambil alih kerja Syabas, tetapi cuba membantu. Kami sediakan tangki bomba apabila Syabas memaklumkan bekalan tangki yang ada tidak mencukupi. Saya juga minta bomba dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) datang dan hantar tangki berhari-hari.

Ini semua dilakukan kerana saya tengok kerajaan negeri pun buat sambil lewa. Ini kerana, tidak ada seorang Exco pun yang turun padang melihat pende­ritaan rakyat.

Kalau BN diberi mandat untuk memerintah Selangor, saya yakin dan percaya isu air ini dapat di­selesaikan dengan berkesan.

Sokongan masyarakat terhadap BN Hulu Langat setakat ini?

Rakyat boleh menilai sepanjang 10 tahun peme­rintahan kerajaan Selangor berdasarkan isu-isu keperluan asas seperti isu air dan rumah. Saya dapat rasakan angin perubahan rakyat dan ramai yang mula sedar bahawa BN lebih baik berbanding Pakatan Harapan.

Mengenai rumah mampu milik Selangorku, sekarang hanya dibina ‘rumah mampu tengok’. Ini benar, bukan semua itu hanya cakap kosong. Kita masuk tengok rumah-rumah pemaju seperti di Fasa 1, 2 dan 3 Eco Hills, Semenyih memang tidak ada. Jadi siapa yang bohong siapa. Bagi saya, kepincangan dan kegagalan tadbir urus kerajaan negeri begitu nyata.

Tiga bulan lepas semasa sidang Dun, saya berhujah tentang isu rumah dengan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad namun tiada jawapan yang dapat dikemukakan beliau. Oleh itu, rakyat haruslah menilai dengan bijak.

Komen mengenai usaha dan agenda BN menawan kembali Selangor?

Agenda memenangi hati rak­yat Selangor merupakan agenda berterusan dalam usaha BN menawan semula Selangor.

Alhamdulillah, usaha BN dilancarkan lagi oleh rakyat yang mula sedar kegagalan pemimpin pembangkang dalam melaksanakan tugas mereka. Pembangkang bukan sahaja gagal mentadbir urus, malah lebih memberi fokus kepada agenda politik melebihi kepentingan rakyat.

Saya harap rakyat berilah peluang kepada BN untuk menerajui semula pemerintahan di daerah dan negeri ini.

Biarlah kemenangan berpihak kepada BN kerana mudah untuk kita berurusan dengan Kerajaan Persekutuan dalam me­laksanakan agenda pembangunan.