Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata, lima sekolah yang menerima peruntukan di bawah Bajet 2016 itu ialah SJKT Barathi, SJKT Ladang Teluk Baru, SJKT Ladang Kuala Bernam, SJKT Ladang Jenderata BHG 3, SJKT Ladang Jenderata BHG A.B dan SJKT Ladang Flemington.

Beliau berkata, turut mendapat peruntukkan itu SJKT Ladang Teluk Buloh, SJKT Ladang New Coconut, SJKT Ladang Jenderata 1 dan SJKT Ladang Jenderata 2.

Kamalanathan berkata, kerajaan memperuntukkan RM16.5 juta bagi 251 SJKT mengikut negeri bagi fasa pertama 2016 dan peruntukan itu diharap dapat ditingkatkan bagi membantu pemba­ngunan sekolah Tamil di seluruh negara.

“Saya harap peruntukan ini tidak disalahgunakan sebaliknya digunakan de­ngan cara terbaik dan berhemah mengikut keperluan. Dahulukan perkara yang penting terutama untuk menaik taraf sekolah serta membaiki infrastruktur.

“Peruntukkan ini juga sebagai bukti jelas bahawa kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dengan keperluan di setiap peringkat masyarakat,” katanya selepas majlis penyerahan peruntukan khas tersebut di SJKT Barathi di Hutan Melintang, dekat sini.

Kamalanathan berkata, pada 2015, sebanyak RM975,000 telah diperuntukkan kepada 10 sekolah terlibat bagi tujuan sama.

“Jumlah ini merupakan sebahagian daripada RM50 juta yang diperuntukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan penyelenggaraan kecil 524 SJKT di seluruh negara dalam Bajet 2016. Sebanyak 366 daripadanya adalah sekolah bantuan kerajaan manakala 158 pula adalah sekolah kerajaan,” katanya.