Abd. Latiff Bandi

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abd. Latif Bandi berkata, tindakan pemotongan bekalan asas itu dibuat kerana kedegilan pengusaha premis untuk beroperasi semula secara berte­rusan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen pusat hiburan keluarga (PHK) yang terlibat menjalankan aktiviti perjudian haram.

“Tindakan penguatkuasaan yang ditunjangi Jawatankuasa Tindakan Khas Perjudian dengan kerjasama pelbagai agensi menjalankan operasi bersepadu membanteras kegiatan judi haram secara agresif dan berterusan.

"Tindakan melupuskan mesin-mesin perjudian juga kita laksanakan bagi membendung usaha operasi semula perjudian di kawasan lain. Hingga November ini, seba­nyak 2,233 buah mesin judi dirampas dan dilupuskan di seluruh negeri," katanya menjawab beberapa soalan dibangkitkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Abd. Latif berkata, tindakan turut menyenarai hitam serta membatalkan lesen premis kepada pemilik yang menjalankan aktiviti perjudian atau menyewakannya kepada orang lain bagi tujuan sama.

Menurutnya, kehadiran pakar perjudian dalam Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) di setiap Ibu Pejabat Polis Daearah (IPD) membantu kelancaran operasi bagi menghidu kegiatan judi haram dan mengenal pasti modus operandi dilakukan pengusaha premis judi haram.