Acara anjuran Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) milik syarikat berkepentingan kerajaan negeri, TDM Berhad itu terbahagi kepada empat kategori iaitu 15 hingga 25 tahun, 26 hingga 40 tahun, 41 tahun ke atas serta larian berkumpulan dan keluarga.

Pengarah Urusan Kumpulan TDM Berhad, Datuk Mohamat Muda berkata, larian itu merupakan sebahagian daripada aktiviti yang digerakkan KTS menerusi Program Pencegahan Diabetes yang dirintis sejak awal tahun ini bagi memberi perkhidmatan pe­ngurusan penyakit diabetes kepada rakyat Terengganu.

“KTS sentiasa berusaha me­ningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan gaya hidup aktif untuk mengurangkan risiko penyakit, malah penganjuran aca­ra ini merupakan platform ter­baik untuk kami mendekati ma­syarakat sekali gus mengukuhkan hubungan dengan pelanggan.

“Selaras dengan pelaksanaan Transformasi TDM Baharu (TTB) yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 27 Februari 2017 lalu, kami menitikberatkan hubungan dengan rakyat yang menjadi landasan kami untuk terus berjaya melekat di hati mereka,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini.

Menurut Mohamat Musa, pelbagai akiviti menarik turut disediakan semasa program tersebut antaranya seminar kerjaya, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandi­ngan fotografi, aktiviti lukisan mural dan pertandingan mewarna yang disertai oleh murid-murid Tadika Kemas.

Dalam perkembangan sama ka­tanya, KTS akan terus menganjurkan program ke arah menggalakkan rakyat negeri ini untuk bergiat aktif dalam kegiatan fizikal sekali gus mengurangkan risiko penyakit diabetes.