Kerana terlalu meminati watak animasi kembar Upin Ipin, seorang kanak-kanak yang baru bersunat sanggup bersesak untuk ke Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 semata-mata hendak ke Kampung Durian Runtuh Upin Ipin.


Gelagat Salahuddeen Samsudin, 7, yang bersahaja berkain batik dan menaiki kereta sorong bayi, mencuit hati pengunjung dan petugas MAHA sehingga ada yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan kanak-kanak itu.

Menurut ibunya Nur Shahlawati Ruslan, 35, anak keduanya itu telah beberapa kali menyatakan hasrat untuk ke MAHA bagi merasai sendiri pengalaman memasuki Kampung Durian Runtuh Upin Ipin.

"Cuti sekolah telah lama bermula, kasihan melihat Salahudden terperap di rumah, jadi bila dia ajak ke MAHA kami usahakan juga.

"Kami bernasib baik kereta sorong yang digunakannya semasa kecil masih boleh digunakan, dan dia tidak kisah berkain kain batik," katanya kepada Bernama pada pameran itu di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini hari ini.

Menurut Nur Shahlawati, walaupun bayaran dikenakan bagi seorang kanak-kanak sebanyak RM25, namun pengalaman yang diperoleh di Kampung Durian Runtuh Upin Ipin itu mampu memupuk minat kanak-kanak terhadap pertanian.

Segmen khas Upin Ipin itu merupakan antara tarikan utama MAHA 2016 yang berlangsung sejak 1 Dis lepas hingga 11 Dis ini dengan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita'.-- BERNAMA