Kali ini di media tidak ada lagi paparan sekolah mana yang mendapat bilangan 6A paling ramai, mahupun daerah mana yang mencatat peratus kelulusan tertinggi, kerana Kementerian Pendidikan tidak lagi mengumumkan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata, tetapi bersekali dengan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),   Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).  Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PPSR) untuk murid berkeperluan khas juga telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. 


Sebenarnya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ini bukanlah amalan baharu dalam sistem pendidikan negara kerana telah diperkenalkan sejak tahun 2011 lagi bagi mentaksir murid secara holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  PBS merangkumi empat komponen iaitu PAJSK, PPsi, PBD dan Pentaksiran Pusat (PP), iaitu UPSR bagi murid Tahun Enam dan PT3 bagi murid Tingkatan 3.  

Perlu difahami bahawa UPSR yang dilaksanakan sekarang bukannya satu-satunya pentaksiran yang mengukur prestasi murid selepas persekolahan selama enam tahun, tetapi UPSR kini merupakan salah satu daripada empat komponen PBS, justeru pelaporan bagi prestasi murid Tahun Enam perlulah merangkumi ke empat-empat komponen tersebut. 

Beberapa hari sebelum ‘keputusan UPSR’ diumumkan, Menteri Pendidikan telah mengeluarkan kenyataan di laman Facebook beliau bahawa beliau bersetuju dengan pandangan bahawa semua murid dan guru perlu dihargai terhadap segala usaha yang telah dicurahkan dalam membangunkan potensi murid di sekolah rendah.  Pandangan beliau mendapat reaksi positif daripada netizen yang merasakan sudah tiba masanya pembangunan holistik murid diberi penekanan berdasarkan potensi masing-masing.  

Sehari selepas itu Ketua Pengarah Pelajaran memaklumkan bahawa kali ini tidak ada lagi pengumuman tentang Gred Purata Sekolah atau perbandingan pencapaian mengikut negeri atau daerah, tetapi mahukan pelaporan yang lebih seimbang merangkumi semua komponen PBS dan memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran murid dan keupayaan mereka dalam memberikan respon kepada soalan yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). 

Bagaimana sepatutnya pelaporan ini diterangkan kepada ibu bapa/penjaga dan murid?  Berdasarkan reaksi ketika sesi bersama murid dan waris semasa Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah ini diumumkan, ibu bapa dan murid lebih memberikan fokus kepada keputusan peperiksaan pusat itu sendiri, iaitu UPSR.  

Tumpuan ini bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana format pelaporan pentaksiran sekolah rendah ini masih baharu diperkenalkan.  Di sini guru-guru dan pentadbir sekolah memainkan peranan yang sangat penting untuk memaklumkan kepada waris tentang prestasi anak mereka. 

Prestasi murid dalam UPSR perlu dilihat bersekali dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), kerana di sini waris akan dapat mengetahui prestasi anak mereka secara konsisten.  PBD dapat memberi gambaran tentang perkembangan murid sejak dari Tahun 1 – bagaimana mereka dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran asas serta sama ada mereka mampu membantu rakan-rakan dalam proses pembelajaran di bilik darjah.  

Kalau Pentaksiran Pusat (PP) iaitu UPSR merupakan satu cara mengukur kemampuan intelek murid, PBD adalah instrumen untuk mengukur amalan, nilai dan kerohanian yang dipupuk dalam proses pembelajaran.    Melalui PAJSK kemampuan jasmani murid dapat diukur dan telah terbukti bahawa majoriti murid Tahun Enam di negara ini mempunyai tahap kesihatan yang memuaskan. PPsi dijalankan bagi mengukur kecenderungan murid yang memberi indikator terhadap potensi atau bakat murid itu sendiri, sama ada minatnya dari segi komunikasi, keusahawanan, seni ataupun penyelidikan. 

Pentaksiran yang holistik ini memberikan satu asas yang kukuh untuk memupuk potensi dan bakat murid di peringkat menengah.  Melangkah ke hadapan, guru-guru di sekolah menengah akan mempunyai gambaran yang jelas tentang profil murid yang bakal mereka terima.  Persediaan awal dapat dibuat bagi memperkembang potensi murid ini.  Murid yang mempunyai kecenderungan dalam teknik dan vokasional boleh dilorongkan ke laluan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) yang ditawarkan di peringkat menengah rendah, manakala murid yang mempunyai minat dalam bidang sains boleh meneruskan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

Adakah dengan pentaksiran yang seimbang ini bermakna guru-guru tidak perlu lagi memberi semangat kepada murid mereka untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan?  

Sebagai guru, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan akal yang dikurniakan oleh Tuhan kepada setiap makhluknya ini dimanfaatkan sepenuhnya.  Kecemerlangan dalam pentaksiran adalah indikator bahawa murid menggunakan akal dalam setiap pertimbangan yang dibuat.  Namun begitu keupayaan intelek ini perlu diimbangi dengan pengisian rohani yang kukuh, pengukuhan emosi yang stabil dan pembangunan jasmani yang mantap bagi memastikan generasi bangsa Malaysia mampu memacu kegemilangan negara di masa akan datang.