Congaknya mudah. DAP yang paling banyak kerusi Parlimen dan menguasai Pakatan Harapan, tidak akan sebodoh itu membuat penentuan sedemikian. Khabarnya calon lain sudah dikenalpasti tetapi bukan Dr. Mahathir.
Dendam Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan ramai pemimpin DAP serta akar umbi  terhadap Dr. Mahathir masih subur. Begitu juga dengan dendam Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan pengikut tegarnya belum padam meskipun kini mereka kelihatan bermuka-muka berpakat atas nama politik.
Awang menjangkakan apabila tiba masanya Dr. Mahathir akan menjadi mangsa muslihat politik dan ketika itulah dendam akan dilunaskan. Bukan rahsia lagi bahawa Dr. Mahathir sekadar dijadikan alat oleh Kit Siang dan DAP untuk meraih undi orang Melayu pada PRU-14. Hal ini turut diakui menerusi komen aktivis  DAP Teluk Intan, Hew Kuan Yau yang mempunyai rangkaian strategik dengan para pemimpin DAP.
Strategi memperkudakan pemimpin Melayu untuk melemahkan kuasa politik Melayu ini kian hebat digerakkan oleh DAP.  Suatu ketika dahulu Dr. Mahathir lantang menolak Melayu yang diperalatkan oleh DAP tetapi kini disebabkan amarah dan kepentingan peribadinya, beliau pula merelakan diri menjadi taruhan DAP untuk membunuh UMNO.
Awang mengucapkan tahniah kepada Kit Siang kerana berjaya menjinakkan Dr. Mahathir akhirnya, yang lebih empat dekad mereka bermusuh ketat. Kedua-duanya tebal dengan imej pemimpin diktator tetapi apabila dua diktator bersama-sama hanya seorang dominan dan terselamat. Sekarang ini pun Kit Siang yang paling berkuasa dalam Pakatan Harapan atau pakatan ali baba itu biarpun tanpa jawatan Pengerusi atau Ketua Umum.
Dr. Mahathir dan Mohamad Sabu boleh berdegar-degar tetapi DAP yang mencorakkan agenda agungnya. Yang pasti PRU kali ini akan menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib dan Pakatan Ali Baba dikuasai Kit Siang, bukannya Dr. Mahathir yang statusnya sekadar alat.  Itulah realitinya.