Itu penegasan oleh vokalis Wings, Awie yang menolak dakwaan bahawa kumpulan rock unggul negara ini akan berpecah.

Sebaliknya, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, yakin Wings masih lagi kuat dan perpecahan tidak akan berlaku pada masa hadapan.

“Istimewanya Wings adalah kami seperti keluarga dan perkara ini (pergaduhan) jika ada akan diselesaikan dengan baik. Cuma buat masa ini tidak ada apa-apa yang boleh saya kongsi.

“Wings tidak akan berkubur itu janji saya,” katanya kepada Utusan Online.

Penafian itu dibuat Awie ekoran daripada khabar angin yang mendakwa mengenai pemain gitar utama Wings, Joe bakal disingkirkan.

Krisis kumpulan ini mula mendapat perhatian apabila Konsert Wings 30 tahun ‘Live’ @ Kota Kinabalu ditunda.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 48, disebut antara punca konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada 24 Disember lalu ditunda. 

Dalam pada itu, Awie juga turut memberitahu hubunganya dengan Joe juga masih baik.

“Kami tidak ada masalah, Wings akan terbang lebih jauh,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE