Video oleh HASNURUL MOHAMED

Menggunakan kata tema, Never Too Late To Be A Rockstar, kumpulan Prime Domestic yang diterajui oleh Abdul Zamin Abdul (Joe Wings) bersama vokalis, Aweera (bekas vokalis kumpulan Mojo), Hillary Ang (gitar), Fauzi (gitaris kumpulan NRG) dan Ainoll (dram) bergandingan dengan kumpulan rock lagenda XPDC, akan memacu para peminat rock yang hadir untuk menyaksikan persembahan selama tiga jam, terhibur dengan persekitaran konsep persembahan rock dalam taman ala-ala konsep persembahan yang pernah dipentaskan oleh kumpulan Woodstock.

Konsert Public Distortion anjuran J&J Rochestra bersama Life Space di Oasis Damansara bermula pada pukul 9 malam, menelan kos sebanyak RM500,000.

"Kolaborasi Prime Domestic dan XPDC bukanlah satu kolaborasi biasa dan persembahan yang bakal diadakan nanti bukan juga satu persembahan yang dapat disaksikan pada mana-mana show tetapi ia sebuah persembahan yang akan membuatkan peminat menyaksikan Konsert Public Distortion berpuas hati.

"Dari pemilihan lagu, susunan muzik, sistem bunyi, pentas sehingga kepada penataan cahaya, kita menjanjikan yang terbaik," kata Joe pada majlis sidang akhbar usai persembahan ringkas Prime Domestic dan XPDC di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar, Pengarah J&J Rochestra Sdn. Bhd., Datuk Asyraf Abu Bakar.

Joe berkata, para peminat yang datang menyaksikan Konsert Public Distortion tidak akan mempertikaikan persembahan yang bakal dipentaskan kerana kedua-dua kumpulan rock lagenda itu, walaupun Prime Domestic baharu dibentuk tetapi ahli yang menganggotai kumpulan itu adalah mereka yang dikenali sebagai pemain lama dalam industri hiburan tanah air akan berpuas hati.

Joe turut menjanjikan persembahan berbayar RM68 seorang itu merupakan sebuah produksi yang bermutu tinggi.

Selain itu, jelas Joe, penonton yang pastinya peminat muzik rock tegar, merasai kebebasan untuk bergerak tetapi terkawal.

Mengetahui aspek keselamatan peminat yang mana perkarangan Oasis Damansara mampu menampung 5,000 orang penonton pada malam 9 Disember nanti amat penting untuk menghindari daripada insiden tidak diingini daripada berlaku, Joe berkata, pengawal keselamatan akan ditugaskan untuk mengawal selia persekitaran.

"Bagi memudahkan peminat yang mahu menggunakan perkhidmatan awam, kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Grab di mana pengguna yang menggunakan perkhidmatan Grab untuk menyaksikan Konsert Public Distortion akan dapat diskaun," katanya.

Tiket RM68 untuk menyaksikan Konsert Public Distortion boleh layari www.ilassotickets.com. - UTUSAN ONLINE