Sejak tiga tahun lalu, pengasas ‘Athene Spices’, Faten Rafie, yang juga seorang blogger masakan telah mencipta 13 jenis produk pelbagai campuran rempah bagi menambahkan kelazatan sesuatu masakan.

Rempah

Faten yang ditemui di gerai jualan yang dibuka sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini berkata, produk yang dihasilkan menggunakan rempah-rempah asli tanpa bahan perasa tambahan, pengawet dan monosodium glutamate (MSG).

“Saya memang minat memasak sejak dari kecil. Selalunya rempah yang ada di pasarkan diubah rasa kerana mereka mahu rendahkan kos atau sukar mendapatkan bahan mentah. Jadi saya selalu membuat rempah sendiri di rumah kerana saya mahukan resepi yang asli

“Namun saya jadi usahawan rempah secara tidak sengaja apabila saya menjadikan rempah-rempah ini sebagai buah tangan dalam perjumpaan dengan rakan-rakan blogger tiga tahun lalu. Bila mereka menggunakan rempah yang saya cipta dan masakan itu sedap mereka mula melanggan,” jelas Fatin.

Menurut beliau, rempah campuran yang telah dihasilkan juga laris dijual kerana cara menggunakannya yang mudah. Kesibukan dalam urusan harian menyebabkan ramai yang memilih cara paling ringkas untuk menyiapkan sesuatu masakan yang bukan sahaja cepat tetapi sedap dimakan.

Jelas Faten setiap produk yang dihasilkan mempunyai kombinasi beberapa jenis rempah yang berbeza dengan ‘Hot Chick Spicy Salt’ merupakan produk yang paling banyak kombinasi rempah iaitu 15 jenis manakala produk ‘Garlic Salt’ paling sedikit gabungan rempah iaitu 3 jenis.

rempah

Antara rempah yang digunakan termasuk rosmary, thyme, pasli, selasi, paprika, cayenne, empingan cili, serbuk cili dan lada hitam.

“Rempah ‘Hot Chick Spicy Salt’ merupakan produk yang paling laris. Untuk membuat ayam bakar kita boleh guna rempah dan ditambah minyak atau mentega sudah cukup.

“Rempah yang turut popular ialah ‘Handrami Mandi’. Sekarang ni ramai yang suka nasi Arab , jadi kita dah hasilkan rempah mengikut resepi asli dari Yaman. Mengikut resepi yang kami hasilkan nasi mandi dimasak tanpa setitik minyak pun,” kata Fatih.

Rempah

Kata beliau, ketika ini produk ‘Athene Spices’ dijual secara online di www.athenespices.com dan juga melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dengan harta RM20 bagi setiap botol.

Selepas berjaya dipasarkan di seluruh Malaysia ‘Athene Spices’ yang dihasilkan dalam sebuah bangkel di zon pemprosesan makanan di Relau, Pulau Pinang itu kini turut diintai oleh pasaran China dan Mexico.-UTUSAN ONLINE