Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, peningkatan jumlah itu saban tahun jelas menunjukkan kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap tabungan pendidikan.

Katanya, pembukaan akaun SSPN1M merupakan satu langkah bijak bagi memastikan simpanan mereka terjamin dengan tawaran dividen yang tinggi berbanding institusi-institusi kewangan lain.

"Sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 3.3 juta akaun telah dibuka dengan deposit berjumlah RM3.5 bilion direkodkan. Rakyat negara ini bijak memilih SSPN1M kerana dapat menikmati pelbagai keistimewaan termasuk jaminan kerajaan serta simpanan patuh syariah.

"Kadar dividen yang diberikan tinggi dan pernah mencecah sehingga 4.25 peratus dan pada tahun lalu pada empat peratus. Ini merupakan satu-satunya skim yang memberikan pelepasan cukai sehingga RM12,000 setahun kepada ibu bapa selain perlindungan takaful percuma kepada pendeposit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Program Lawatan Prihatin PTPTN ke Wad Kanser Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN itu diadakan bersempena Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari lalu.

Ketika lawatan itu, Shamsul Anuar turut menyerahkan sumbangan pembukaan akaun/penambahan deposit SSPN1M kepada 300 pesakit di wad berkenaan, peralatan sokongan pendidikan sekolah dalam hospital, hamper, tabung SSPN1M dan kit makanan kepada ibu bapa, penjaga dan kakitangan Institut Pediatrik.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Institut Pediatrik HKL, Dr. Hishamshah Mohamad Ibrahim.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, ibu bapa digalakkan membuka SSPN1M kerana dan sebanyak RM250 juta di bawah insentif geran sepadan diperuntukkan kepada 500,000 ibu bapa terawal membuat simpanan untuk anak-anak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Beliau berkata, sehingga 31 Januari sahaja, sebanyak 44,200 akaun menerima Geran Sepadan yang melibatkan RM22.1 juta.

"Ibu bapa yang membuat simpanan bersih sekurang-kurangnga RM500 sepanjang tahun ini akan diberikan deposit percuma berjumlah RM500. Ini bermakna, simpan RM500, percuma RM500.

"Insentif ini secara tidak langsung menunjukkan usaha kerajaan dalam memberikan keutamaan kepada rakyat untuk mendapatkan pendidikan tertinggi," ujarnya. - UTUSAN ONLINE