Video oleh RAJA JAAFAR ALI

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan berkata, garis panduan baharu itu melibatkan penambahbaikan kaedah hukuman sedia ada.

“Garis panduan itu kini di peringkat akhir (kajian) dan kita terbuka untuk sebarang cadangan bagi penambahbaikan garis panduan sedia ada.

“Apa yang penting adalah kedua-dua belah pihak iaitu guru dan murid dilindungi dalam perkara ini,” katanya ketika mengadakan lawatan rasmi sempena hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gelang Patah di sini sebentar tadi.

Baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat pekeliling baharu mengenai kaedah hukuman yang dibenarkan ke atas pelajar.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, kajian semula perlu dibuat ke atas Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8 yang dikeluarkan bagi memberi maklum kepada guru mengenai bentuk hukuman yang dilarang ke atas pelajar melakukan salah laku di luar Peraturan-peraturan Pelajaran seperti berkeliaran dan bising dalam kelas.

Katanya, surat pekeliling itu kali terakhir dikeluarkan pada 1983. - UTUSAN ONLINE