Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman berkata,  sistem pengajian secara tradisional yang diamalkan di pusat pengajian pondok mempunyai keistimewaannya yang tersendiri iaitu mengasah ketajaman minda dan daya fikir seseorang untuk menguasai ilmu.

Menurutnya, pendekatan yang sama boleh diamalkan bagi menyokong penguasaan murid terhadap kemahiran dan ilmu yang diajar oleh guru di dalam bilik darjah.

"Ibu bapa wajib memastikan anak-anak masing-masing menghafaz ayat-ayat lazim dengan sempurna dan betul sebutannya selain menggalakkan mereka mempelajari makna dan tafsiran.

"Aktiviti seumpama ini boleh hidupkan semula di surau sekolah terutama pada waktu petang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Surau al-Aziz dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru kali ke 41 Sekolah Kebangsaan Cherang Ruku, dekat sini, hari ini.

Zawawi berkata, pendidikan agama, moral dan akademik perlu dilaksanakan secara seimbang bagi mencapai aspirasi negara melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berakhlak mulia.- UTUSAN ONLINE

Video oleh Torek Sulong