“Saya tahu sunat sebab lihat kawan-kawan yang sudah berkhatan, tetapi tak tahulah rasanya macam mana. Saya sunat pun sebab mak dengan ayah yang suruh,” seloroh Wan Agil Najmil Nasarudin, 10, yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) di Dewan Utusan hari ini.


Walau bagaimanapun, lain pula yang dikatakan oleh peserta Khairol Nadzmi Kamaruzaman, 8, apabila kelihatan teruja untuk berkhatan.

“Emak dengan ayah tak paksa pun. Saya sendiri hendak bersunat sebab pernah lihat abang dan kawan-kawan lain sunat dahulu,” katanya.


Seramai 21 kanak-kanak terdiri daripada anak-anak kakitangan Kumpulan Utusan dan masyarakat setempat menyertai majlis khatan beramai-ramai yang dirasmikan oleh Penolong Pengarang Utusan Malaysia (Prosesan), Rozaman Ismail.


Selain meraikan anak-anak berkhatan, penganjuran majlis oleh BKUM juga bertujuan untuk merapatkan hubungan masyarakat luar dengan warga kerja Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.


Menurut Yang Dipertuanya, Saifol Bakhtiar Hamik, selain acara berkhatan, ibu bapa dan para pengunjung berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pihak hospital dari KPJ Kajang Specialist.


“Kali terakhir penganjuran adalah pada 2015 dan kali ini diadakan lagi kerana terdapat permintaan. Istimewanya pula kita dapat kerjasama dari pihak Balai Bomba dan Penyelemat Pudu untuk acara bersiram dan KPJ Kajang Specialist untuk mengkhatankan kanak-kanak.

“Meskipun majlis ini tidak dilakukan secara tahunan, namun pada tahun hadapan kami berharap dapat menganjurkan secara perdana dengan penglibatan lebih ramai peserta,” katanya. - UTUSAN ONLINE