Selepas 15 tahun menghidangkan makanan dalam pesawat dan 30 tahun penubuhan syarikat itu, BSFS kini mencari peluang pemasaran berpotensi seperti pembukaan restoran serta penyediaan makanan dalam kereta api.

Katering yang menyediakan makanan seratus peratus halal itu baru-baru ini membuka sebuah cawangan restoran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi iaitu Canseleria.

Selain itu BSFS juga membuka restoran, Cafe Barberia di beberapa lokasi dalam dan luar negara seperi di Bangsar, Kuala Lumpur serta Tokyo dan Yokohama, Jepun.

BSFS turut mengembangkan perniagaannya dengan membuka beberapa restoran dan francais dekat medan selera dan ruang niaga di lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi, initiatif itu adalah langkah strategi dalam mencari peluang perniagaan selain menyediakan makanan untuk penumpang dalam pesawat.

Beliau berkata, Brahim’s juga mengeluarkan makanan proses yang kini boleh didapati di pasaraya-pasaraya besar.

“Kami mencari prospek perniagaan yang lebih besar dan bukan sahaja tertumpu dalam perkhidmatan penyediaan makanan dalam pesawat.

“Kami juga mencari klien-klien yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perkhidmatan katering dalam strategi ‘non-airlines’ market.

“Salah satu kejayaan kami adalah, penyediaan makanan yang menepati kriteria bangunan bestari (intelligent bulding) di Menara Shell, KL Sentral.

“Antara ciri bangunan itu adalah konsep hijau yang tidak membenarkan aktiviti memasak dalam bangunan.

“Justeru, konsep penyediaan seperti dalam pesawat diaplikasikan untuk menyediakan makanan sambil memenuhi kriteria bangunan bestari,” katanya dalam sidang akhbar selepas berucap dalam sambutan ulang tahun BSFS.

Dalam pada itu, Ibrahim turut memberitahu BSFS kini menyediakan perkhidmatan makanan bagi 32 syarikat penerbangan merangkumi 270 pesawat setiap hari.

“Selama 15 tahun perkhidmatan itu, BSFS diberi kepercayaan oleh empat daripada lima syarikat penerbangan terbaik dunia iaitu Qatar Airways, ANA All Nippon Airways, Emirates dan Cathay Pacific Airways.

“Justeru, konsisten dalam komitmen berjaya mengangkat BHFS sebagai perkhidmatan katering seratus peratus halal terbesar di dunia,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE