Majlis Khatam Al-Quran Pelajar KAFA Negeri Terengganu 2017 itu berlangsung di setiap kawasan Parlimen di negeri ini diterajui Parlimen Kuala Terengganu serta Kuala Nerus yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Seramai 4,958 pelajar KAFA dari dua daerah berkenaan hadir pada majlis kelolaan Yayasan Terengganu (YT) tersebut yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pengarah Pembangunan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Halim Ahmad, Pengarah YT, Datuk Dr. Alias Abdullah dan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafrudin Ali Hussin.

Pada majlis itu, Menteri Besar sempat mengadakan sidang video bersama perasmi-perasmi majlis yang sama di daerah-daerah berkenaan antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir. Rosli Othman dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.

Sebanyak 2,179 pelajar KAFA turut menjayakan majlis khatam al-Quran beramai-ramai bagi Parlimen Setiu diikuti Kemaman (1,906 pelajar), Besut (1,746 pelajar), Hulu Terengganu (1,741 pelajar), Marang (1,500 pelajar) dan Dungun (970 pelajar). - UTUSAN ONLINE