Komitmen itu dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dato Dr Musa Ahmad semasa melakukan lawatan kerja sehari ke kampung berkenaan pada semalam (Sabtu, 9 Dis) yang terletak di kawasan pedalaman di Daerah Beluran. Lawatan ini turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato Dr Hasan Basri Awang Mat Dahan bersama pegawai kanan universiti.

“Melalui perhatian awal dan perbualan bersama penduduk kampung, mereka mengakui pembangunan infrastruktur asas masih kurang dan ketinggalan. Penduduk kampung masih menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kemudahan air bersih, bekalan elektrik dan jalan yang sempurna.

“Atas keprihatinan ini, USIM akan mengikhtiarkan dana bagi membina sebuah telaga air menggunakan pam secara berpusat terlebih dahulu. Buat masa ini sumber air untuk kegunaan harian hanya didapati dari tadahan hujan atau sungai berdekatan.

“Kita juga melihat keperluan menyediakan perahu yang bersesuian untuk kemudahan pendudukan kampung dan murid ke sekolah yang menggunakan sungai sebab laluan mereka.

“Kita akan mengusulkan usaha murni ini kepada rakan-rakan strategik kita dan badan korporat untuk menyumbang dana bagi merealisasikan projek ini. Pendidikan amat penting kerana melalui pendidikan ia akan merubah dan menjamin kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.

"Justeru saya amat memuji inisiatif penduduk kampung berusaha membuka sebuah sekolah menengah di sini “ ujar Profesor Dato Dr Musa Ahmad.

Tambahnya lagi, USIM turut berhasrat menjadikan Kampung Sungai Tangkarason sebagai kampung angkat kepada universiti ini. Melalui platform ini, USIM akan bersinergi bersama IRM untuk menghantar penuntutnya semasa cuti semester ke kampung ini untuk pembangunan aspek pendidikan anak-anak kampung  yang terletak di kawasan pedalaman di Daerah Beluran mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari Bandar Sandakan. 

Dalam majlis berasingan iaitu ‘Cheer To School’ di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Bawang Beluran bersama penduduk kampung, warga pendidik dan murid sekolah Kampung Sungai Tangkarason, Naib Canselor USIM turut menyampaikan sumbangan peralatan sekolah berupa beg, alat tulis dan buku kepada 125 murid sekolah berkenaan.

Turut bersama meraikan kunjungan delegasi USIM adalah Tuan Jasni Ampatong, Pengerusi Penaja Kampung Sungai Tangkarason; Tuan Haji Jainudi Ambasin, Iman Kariah merangkap Yang Dipertua PIBG SK Bawang Beluran dan kakitangan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Kunjungan USIM ke kampung berkenaan adalah untuk melihat lebih dekat sekumpulan enam siswa Gap Year USIM yang membuat program kemasyarakatan di bawah IRM Sabah di sana. Mereka berada di kawasan pedalaman Sabah bermula 6 Disember lalu sehingga 15 Disember hadapan. Kampung yang terlibat adalah Kampung Sambah, Kampung Tangkarason, Kampung Tegupi Laut dan Kampung Sayap.

Program Gap Year adalah salah satu inisiatif oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang diumumkan secara rasmi oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam Amanat Tahun 2017.

Ia memberi peluang kepada mahasiswa Universiti Awam untuk menangguhkan pengajian selama setahun untuk terlibat secara aktif dalam program berbentuk kesukarelawanan.

Enam siswa USIM yang terlibat adalah Mohamad Hassanudin Abu Jamil (Sarjana Muda Quran Dengan Multimedia); Mohammad Syafiq Rosli (Sarjana Muda Quran Multimedia) dan Noorsyafiqah Shaharuddin (Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah).

Mereka yang lain adalah Fatimah Adilah Elias (Sarjana Muda Sunnah Pengurusan Maklumat); Nazratun Nadiah Sa’don (Sarjana Muda Al-Quran Dan Sunnah); dan Sayidatul Aqbaar Zakaria (Sarjana Muda Akidah & Agama). Kesemua mereka telah menangguhkan pengajian di USIM mulai September lalu. - UTUSAN ONLINE