Beliau menyebut, UPSR hanyalah langkah pertama dalam pengembaraan hidup justeru jangan dibebani kudrat guru dan perasaan murid-murid dengan membandingkan kecemerlangan mereka.

Kenyataan beliau disambut baik oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Zon R10, Mohd Suhaimi Abdul Hamid yang menyifatkan keputusan peperiksaan UPSR tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah ‘A’.

Beliau berkata, pembangunan akhlak dan sahsiah secara holistik yang merangkumi penglibatan murid-murid dalam kegiatan kokurilulum dan aktiviti lain di sekolah juga perlu dinilai.

“Para ibu bapa seharusnya melakukan anjakan paradigma, kalau dahulu kita selalu tanya anak-anak kita atau orang lain berapa ‘A’ yang mereka peroleh dalam keputusan peperiksaan.

“Ibu bapa sekarang seharusnya sedar bahawa bukan ‘A’ sahaja yang hendak dikejar tetapi perlu melihat kejayaan anak dalam aspek yang lain juga.

“Tekankan kepada mereka bahawa keputusan peperiksaan UPSR bukan satu titik noktah. Ibu bapa seharusnya menyokong anak-anak dalam bidang yang diminati contohnya sukan,” katanya kepada Utusan Online.

Aspirasi Menteri Pendidikan itu turut disokong oleh Guru Besarnya, Sa’adiah Mohd Noh yang memberitahu penilaian murid turut berlangsung sepanjang sesi pembelajaran seperti Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

“Murid-murid bukan ditekankan dengan akademik semata-mata, mereka juga didedahkan dengan pelbagai pendekatan pelajaran seperti belajar secara berkumpulan, carian maklumat dalam internet serta buat pembentangan.

“Perbandingan penerimaan ibu bapa terhadap keputusan UPSR pada tahun lepas, kini mereka mula memahami kejayaan murid-murid bukan bergantung kepada akademik sahaja.

“Tetapi kejayaan secara holistik yang menjadi salah satu objektif dalam falsafah pendidikan negara,” katanya selepas menyampaikan keputusan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Zon R10 hari ini.

Seramai 127 murid mengambil keputusan peperiksaan UPSR di sekolah itu selepas mendudukinya pada September lalu.

Tambah Sa’adiah, berdasarkan kepada pentaksiran kegiatan kokurikulum, semua pelajar terlibat dengan pelbagai aktiviti termasuk sukan seperti memanah, ragbi, bola sepak dan hoki dan sebahagian mereka juga pernah mewakili sekolah, zon dan negeri. - UTUSAN ONLINE