Malah 10 tahun yang lalu di Pulau Pinang, pernah berlaku satu kes apabila seorang murid berusia 12 tahun menggantung diri dalam biliknya selepas tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2007.

Walaupun sempat dikejarkan ke hospital selepas disedari kakaknya, murid itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Bakap.

Adalah tidak wajar andainya nyawa itu menjadi pengganti bagi keputusan peperiksaan yang tidak cemerlang apatah lagi jika ibu bapa terlalu memaksa anak-anak mencapai keputusan ‘A’ dalam semua subjek.

Perasaan sama dirasai oleh seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Zon R10 di sini yang kecewa selepas tidak mendapat keputusan peperiksaan UPSR seperti diharapkan tetapi dipujuk oleh ibunya

Noradibah Nabihah Saupi, 12, dilihat menangis memeluk ibunya sambil meminta maaf kerana tidak dapat keputusan peperiksaan UPSR seperti yang diharapkan.

Walau bagaimanapun dia dipujuk oleh ibunya, Roslina Yusoh supaya reda dan bersyukur dengan keputusan yang diterima.

“Saya memahami bebanan yang ditanggung oleh anak saya, malah saya nampak kesungguhannya untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

“Apabila dia tidak dapat keputusan seperti yang diharapkan saya reda sebab memang nampak usahanya yang bersungguh-sungguh.

“Selain fokus dalam pelajaran, tugasan yang diberikan oleh gurunya, dia akan menyiapkannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya kepada Utusan Online.

Noradibah Nabihah yang memperoleh keputusan 5A 1B dalam peperiksaan UPSR 2017 itu berhasrat untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab.

Begitu juga Azrizal Mohd. Sani dan Khalimaton Torman yang sentiasa menyokong minat dan kecenderungan anaknya, Azzurin Najwa Azrizal yang mengambil peperiksaan UPSR di sekolah sama.

Azrizal memberitahu, beliau sentiasa menyokong kecenderungan dan minat anaknya dalam apa jua bidang terutama sukan hoki yang begitu diminatinya.

“Walau apa pun keputusan yang diterima, kami sentiasa menyokong kerana minatnya memang dalam bidang sukan hoki selain bercita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti.

“Kita tidak mengongkong dan sekarang pun tiada lagi perbandingan keputusan cemerlang ataupun tidak dibuat. Jadi kami sentiasa menyokong minatnya.

“Peranan kami pula sentiasa menekankan hubungan kekeluargaan. Sebagai contoh apabila dia perlu datang ke sesi latihan sukan, kami sekeluarga hantar dia ke sekolah dan tunggu sehingga selesai,” katanya yang bangga dengan kejayaan Azzurin Najwa mewakili Kuala Lumpur dalam sukan hoki. - UTUSAN ONLINE