Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehingga kini sebanyak 400 sesi telah dianjurkan jentera parti dan mendapat  maklum balas positif daripada pengundi di kawasan itu.

"Kita bukan lagi mengadakan majlis penerangan di dewan-dewan, tetapi melalui cara dari rumah ke rumah, majlis minum petang dan tahlil. Sehingga kini kira-kira 20,000 orang telah diberi penerangan.

"Dengan cara ini kita dapat terangkan pelbagai isu dan menafikan fitnah (terhadap UMNO) kepada orang ramai," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO bahagian, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Mohamad yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan turut mengingatkan pentingnya peranan wakil rakyat dan jentera parti untuk bekerjasama bagi memastikan kemenangan dalam PRU-14.

"Kalau wakil rakyat kerja kuat tetapi jentera parti 'tidur' susah untuk mencapai kemenangan dan begitu juga sebaliknya," ujarnya.

Beliau juga meminta ahli UMNO di bahagian itu supaya mempunyai mentaliti mahu menang dan tidak mewujudkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan parti. - UTUSAN ONLINE