Hakim Datin Azizah Nawawi memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan kerajaan Malaysia terhadap permohonan Dr. Mahathir untuk menamatkan pelantikan pengerusi, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Bagi Memudahkan Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon.

Pada 9 Ogos lalu, Dr. Mahathir telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman ex parte (sebelah pihak) dengan menamakan Mohd. Sidek, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Choo Boon, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan; ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Puspanathan; Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail dan kerajaan Malaysia sebagai  responden pertama hingga ketujuh.

Dalam permohonan itu, Dr. Mahathir yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memohon perintah untuk melucut hak kelayakan Mohd. Sidek dan Choo Boon daripada menjadi ahli panel untuk keseluruhan prosiding itu.

Beliau turut memohon perintah mandamus bagi mewajibkan kerajaan untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi membatalkan dan/atau menamatkan perkenan Seri Baginda berkaitan pelantikan Mohd. Sidek dan Choo Boon sebagai ahli panel persidangan itu. - UTUSAN ONLINE.