SHAHANIM MOHAMAD YUSOFF
SHAHANIM MOHAMAD YUSOFF

Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, apabila kuota khusus ini diwujudkan, golongan B40 sekurang-kurangnya mampu keluar dari kepompong kemiskinan dalam jangka masa panjang.


“Saya percaya, pelajar yang berjaya dapat membantu ahli keluarga dan adik-beradik untuk kehidupan yang lebih baik khasnya dari segi kewangan dan peluang pendidikan yang lebih cerah,” katanya sewaktu mencelah pada sesi penggulungan Bajet 2018 dalam sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Selain itu, tambah Shahanim, beliau berpendapat sudah sampai masanya kewujudan kuota khusus untuk golongan berpendapatan rendah B40 bagi mengisi jawatan kosong dalam sektor awam.​​​


“Saya menggesa, sekurang-kurangnya seorang daripada anak-anak B40 dapat mengisi mana-mana jawatan dalam sektor awam, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan,” tegasnya.


Cadangan ini, katanya, seharusnya diambil kira kerajaan bagi membantu golongan B40 ini dalam tempoh panjang dan bukannya bersifat one-off.


“Di sini, saya ingin tekankan bahawa kewujudan kuota khusus ini mampu menyelesaikan beberapa masalah yang melanda rakyat ketika ini antaranya membantu ahli keluarga membuat pinjaman rumah mampu milik dan menjadi jaminan bagi adik-beradik yang memerlukan bantuan biasiswa dan pinjaman pendidikan.


“Ini  termasuk meningkatkan kuota pelajar cemerlang daripada kumpulan B40 sehingga 75 peratus memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE